rasuah untuk urusan mahkamah

Sejak semalam, berita mengenai penahanan seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak berhubung kesalahan rasuah tular dalam media sosial.

Tambah panas lagi apabila turut dirampas wang jutaan ringgit berkait kes pemimpin berkenaan yang juga mempunyai kaitan dengan seorang bekas menteri.

Hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahkan penahanan seorang Timbalan Pengerusi kepada sebuah parti politik.

Tambah kenyataan itu, pemimpin berkenaan juga mempunyai kaitan dengan seorang bekas menteri kerana disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat yang memperoleh projek di sebuah kementerian pada 2019.

Kata SPRM, turut ditahan dalam operasi yang dijalankan di sekitar Ipoh semalam ialah dua pengarah syarikat.

“Dalam pada itu, SPRM telah merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM1.2 juta yang dipercayai wang rasuah disimpan di rumah dan pejabat proksi kepada bekas menteri dan Timbalan Pengerusi tersebut.

“Turut dirampas ialah sebuah kereta mewah yang digunakan oleh bekas menteri tersebut sebagai kenderaan rasmi dan dipercayai milik salah seorang pengarah syarikat yang diluluskan projek berkenaan,” kata kenyataan itu.

Tambah SPRM, setakat ini, beberapa akaun syarikat dan individu berjumlah RM77 juta juga telah dibekukan untuk tujuan siasatan.

Ketika ini, siasatan masih lagi berjalan dan SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan ini.

Ini kenyataan pertama daripada SPRM sahkan penahanan individu berkenaan.

Baca artikel berkaitan: SPRM teliti cadangan tingkat indeks persepsi rasuah

PKR Perak semalam berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung laporan penahanan seorang pemimpin kanan PKR negeri itu oleh SPRM.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata beliau dimaklumkan pemimpin itu dipanggil SPRM pada pagi Selasa untuk membantu siasatan agensi berkenaan.

Menurutnya, semua pihak diminta bertenang mengenai perkara tersebut.

Dalam pada itu, bekas menteri yang dikaitkan menafikan dakwaan dirinya merestui  amalan rasuah, susulan penangkapan SPRM terhadap individu berkenaan – yang akrab dengannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, bekas menteri berkenaan yang juga Naib Presiden PKR berkata, individu ituadalah kenalan rapat keluarga dan bukannya pembantu dirinya seperti yang dilaporkan.

“Dalam laporan media baru-baru ini, nama saya dikaitkan, dan ini menimbulkan prasangka terhadap saya sebagai wakil rakyat.

“Bertindak atas nasihat keluarga dan rakan, saya tampil untuk membersihkan nama saya dengan pihak berkuasa,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.