Op Cantas JSJ IPK Pahang berganding dengan PGA dalam mengawal Hutan Simpan Batu Talam, Raub, Pahang./ Gambar FB JSJ Pahang.

JANGAN tambah polemik, tegas Polis Pahang kepada semua termasuk ahli-ahli politik berhubung isu pencerobohan hutan simpan di Raub oleh sekumpulan pekebun durian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, semua pihak berkepentingan diingatkan mematuhi undang-undang dan tidak bertindak di luar batasan bagi mengelak tindakan tegas.

“Saya mengingatkan kepada semua supaya tidak menambahkan polemik. Kalau kita tahu hormati undang-undang, tak perlulah tindakan agresif, drastik dan sebagainya.

“Ini termasuklah kepada ahli-ahli politik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sempena Ops Bantu hari ini.

Yang hadir sama, timbalannya, Datuk Yusri Hassan Basri.

Ramli Mohamed Yoosuf (tengah) bersama pek bantuan makanan pada sidang media Ops Bantu di IPD Kuantan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini isu pencerobohan Hutan Simpan Kekal Batu Talam membabitkan kawasan seluas kira-kira 101 hektar.

Menurut Ramli, keadaan keseluruhannya terkawal dan Kerajaan Pahang juga mengambil inisiatif mengawal kawasan itu termasuk kehadiran Pasukan Gerakan Am (PGA) yang banyak membantu.

Baca artikel berkaitan: Operasi musnah kebun durian berjalan lancar dengan kehadiran PGA

“Tiada ancaman baharu dimaklumkan setakat ini, kecuali yang kita saksikan dalam video tular itu.

“Bagaimanapun, sekiranya ada yang cuba mencetuskan kekecohan, polis tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ramli berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana pihaknya prihatin dalam soal keselamatan.

Katanya, semalam pun timbalannya berada di Raub meninjau keadaan di sana bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

“Tiada apa perlu digusarkan kerana polis sentiasa cakna keselamatan penduduk sekitar. Semuanya terkawal,” jelasnya.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dalam kenyataan Isnin lalu berkata, seramai 18 pekebun ditahan kerana disyaki menceroboh HSK Batu Talam.

Semua pekebun terbabit dibawa ke IPD Raub kerana membuat provokasi melampau kepada anggota jabatan itu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram