Anwar kekal Presiden PKR, Nurul Izzah mahu tumpu kempen anjuran Rafizi

Dari Penulis

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasminya diumumkan kekal sebagai Presiden PKR bagi penggal 2022/2024.

Ini selepas Ahli Parlimen Port Dickson itu muncul satu-satunya calon bagi jawatan Presiden PKR.

Proses pencalonan jawatan tertinggi PKR ditutup semalam.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Anwar mengulangi sejarah Pemilihan Keadilan 2018.

“Saudara Anwar sekali lagi menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini.

“Ini adalah penghormatan terbesar daripada akar umbi Keadilan.

“Saya dengan penuh takzim mengucapkan tahniah kepada Saudara @anwaribrahim,” katanya menerusi Twitter beliau.

Buat kali pertama dalam sejarah PKR, Anwar menerajui parti itu sebagai Presiden pada 2018.

Beliau menggantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menerajui jawatan itu sejak penubuhan Parti Keadilan Nasional dan kemudiannya dikenali sebagai PKR.

Anwar pula merupakan Ketua Umum – jawatan yang tidak dipertandingkan dalam pemilihan PKR.

Poster ucapan tahniah kepada Anwar Ibrahim yang dimuat naik di Twitter Saifuddin Nasution pagi ini.

Sementara itu, seorang lagi watak penting dalam PKR, Nurul Izzah Anwar memilih untuk tidak bertanding apa-apa jawatan.

Bekas Naib Presiden PKR itu berbuat demikian bagi menumpukan kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar.

“Seiring dengan komitmen penuh saya kepada usaha melindungi masa depan parti serta perjuangan yang kita kasihi, saya akan menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar menerusi wadah Ayuh Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Usaha menarik pengundi atas pagar itu dilakukan memenerusi kempen Ayuh Malaysia yang dilancarkan Rafizi Ramli baru-baru ini.

Baca: PKR: 17 calon tawar diri bertanding Naib Presiden, 2 Timbalan dan Anwar calon tunggal Presiden

Saifuddin sah cabar Rafizi rebut Timbalan Presiden PKR

Rafizi sebelum ini menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan bakal dicabar Saifuddin.

Ini percubaan kali kedua Rafizi bagi merebut jawatan No 2 PKR selepas tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pemilihan lalu.

Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 berlangsung selama tiga hari berakhir Ahad lalu melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara.

Senarai penuh calon yang akan bertanding bagaimanapun hanya akan dimuktamadkan esok sekiranya terdapat sebarang bantahan atau penarikan diri.

Proses pengundian bagi pemilih online ialah dari 18 hingga 20 Mei manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.

Selain jawatan Timbalan Presiden, turut menjadi tumpuan ialah perebutan tiga kerusi Naib Presiden.

Berdasar laporan media semalam, terdapat 17 calon menawarkan diri.

Antaranya dua Menteri Besar iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Polis siasat pekerja restoran aniaya kucing, masukkan dalam guni di Teluk Intan

POLIS menjalankan siasatan kes seorang lelaki dipercayai pekerja sebuah restoran di Taman Melor, Teluk Intan disyaki menganiaya seekor kucing...

More Articles Like This