JABATAN Penjara Malaysia menafikan dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menerima layanan istimewa berstatus VVIP ketika menerima hukuman di Penjara Kajang.
Dalam hantaran di Facebook, Jabatan Penjara turut memuat naik tangkap layar catatan tular menunjukkan gambar bilik yang kononnya bilik VVIP dengan tajuk ‘Penjara untuk VIP’.
“Hentikan penyebaran maklumat palsu,” menurut jabatan itu dalam catatannya.
Sementara itu, memetik laporan Free Malaysia Today, Jabatan Penjara memaklumkan tiada layanan istimewa seperti itu diberikan kepada Najib.
Pada masa sama, jabatan itu turut menegaskan semua banduan akan menerima layanan sama rata.
Terdahulu, pengguna Facebook dengan nama D’eyo Adie memuatnaik gambar sebuah bilik yang mewah dengan mendakwa ia adalah penjara untuk VIP.
Baca artikel berkaitan: Selepas 4 tahun kes berlangsung, Najib akhirnya menjadi bekas PM pertama ke penjara
D’eyo Adie mendakwa sel bagi VIP diberikan kemudahan televisyen, internet, buku, penghawa dingin, katil dan tilam.
Najib yang dikenakan hukuman penjara 12 tahun dibawa ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Beliau tiba di penjara tersebut, pada 6.05 petang semalam dengan kawalan ketat polis diperintah menjalani hukuman selepas mahkamah tertinggi itu menolak rayuan terakhirnya.
Menurut laporan media, Najib ditempatkan di Penjara Kajang buat sementara waktu sebelum dihantar ke Penjara Sungai Buloh.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu bagi setiap tiga pertuduhan CBT kerana penyelewengan masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada dana SRC.
Najib, 69, pada 8 Dis 2021 gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

