WALAUPUN berkali-kali pelawaan untuk bekerjasama ‘ditolak’, namun Pas kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Malah, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh dalam PRU-15.
Sebaliknya, Takiyuddin berkata, musuh sebenar penyatuan ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutunya termasuk ‘khemah besar’.
Menurut Takiyuddin, Pas terus berusaha dengan pelbagai pendekatan menyeru seboleh mungkin parti-parti yang mewujudkan kerajaan Persekutuan sekarang dapat terus bekerjasama menghadapi PRU-15 nanti.
Kata beliau, ia seterusnya membentuk sebuah kerajaan baharu yang lebih mantap dan berautoriti.
“Pas yakin agenda penyatuan ummah dan perpaduan nasional antara orang Melayu-Islam, bumiputera dan rakyat pelbagai kaum di negara ini hanya dapat dicapai sekiranya kestabilan politik dapat diwujudkan selepas PRU-15.
“Justeru, Pas kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh dalam PRU-15,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Muhyiddin perlu tarik sokongan terhadap PM, jangan hanya menyalak – Asyraf
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas amat optimis perpaduan dan kerjasama politik antara parti-parti utama Melayu-Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih daripada dua penjuru dalam PRU-15.
Beliau berkata, Pas yakin gabungan atas konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional sahaja mampu menjadi formula terbaik dan berkesan serta diterima majoriti pengundi.
“Ia ke arah mewujudkan sebuah kerajaan prihatin rakyat dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat di samping pada masa yang sama memberikan perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang.
“Ini bukan sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama keapda semua rakyat merentasi kaum, agama, bangsa dan budaya tetapi juga mengelakkan berulangnya sejarah hitam yang berlaku semasa PRU-14,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

