Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan keluar selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

YANG di-Pertuan Agong belum membuat sebarang ketetapan mahu pun keputusan berhubung pelantikan Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu.

Perkara itu disahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selesai menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebentar tadi.

Menurut Anwar, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan pandangan bahawa perlunya kesepakatan dan kerjasama semua pihak.

Kata beliau, ia supaya kerajaan yang kukuh dan memberi tumpuan menjaga kepentingan rakyat serta memulihkan ekonomi dapat dibentuk.

Anwar yang juga calon Perdana Menteri PH memaklumkan, Agong turut menitahkan supaya kerajaan yang ditubuhkan kelak harus mewakili semua pihak secara inklusif.

“Kerajaan yang ditubuhkan kelak, insya-Allah harus mewakili semua pihak, kaum dan wilayah. Jadi, inklusif dalam erti kata sebenar.

“Agong menerima baik semangat kerajaan perpaduan yang kebetulan saya sebutkan semalam.

Baca artikel berkaitan: Muhyiddin, Anwar tiba di Istana Negara

“Saya juga memberi beberapa pandangan. Kita berilah sedikit masa untuk Seri Paduka berikan pertimbangan dan kebijaksanaan untuk putuskan secara muktamad.

“Tiada apa-apa keputusan lagi setakat ini. Sekarang ini, ada kekosongan jawatan (Perdana Menteri) dan terbuka untuk permohonan,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan setakat ini PH hanya menamakan nama beliau sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, tidak timbul soal berhubung kerajaan minoriti.

“Kita telah hantar (sokongan) jadi sudah semestinya kita terbuka dengan proses ini.

“Kerajaan Perpaduan itu istilah yang saya gunakan semalam. Kebetulan Seri Paduka daripada bertahun lalu secara konsisten memohon supaya ada semangat perpaduan dalam kalangan rakyat termasuk tatkala (Datuk Seri) Ismail Sabri dilantik dan sebelum itu (Tan Sri) Muhyiddin tetapi mereka tak jalankan.

“Kalau saya, saya hormat dan patuh,” jelas beliau.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya ketua gabungan PH dan PN menghadap pada pukul 4.30 petang ini di Istana Negara.

Kenderaan membawa Anwar dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilihat memasuki Pintu 2, Istana Negara, Kuala Lumpur pada jam 4.10 petang.

Manakala, kenderaan membawa Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilihat memasuki Pintu 2, Istana Negara kira-kira jam 4.05 petang.

Kenderaan membawa Muhyiddin kemudiannya keluar dari Istana Negara melalui pintu dua pada pukul 5.15 petang selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram