BEK kanan skuad Harimau Malaya, Azam Azmi Murad yang dilayangkan kad merah ketika perlawanan menentang Vietnam, minggu lalu bakal menjalani hukuman gantung dua perlawanan.
Perkara itu diputuskan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) menerusi mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Etika yang mendapati pertahanan Terengganu FC itu melakukan kesalahan dalam insiden dengan pemain Vietnam, Doan Van Hau pada 27 Disember lalu.
Keputusan itu menyaksikan Azam bakal terlepas perlawanan ‘hidup dan mati’ Harimau Malaya menentang Singapura bagi Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.
Pada masa sama, pemain berusia 21 tahun itu juga perlu membayar denda berjumlah AS$1,000 (RM4,400).
“Denda itu perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan dikeluarkan.
“Azam juga telah dimaklumkan bahawa kesalahan berulang akan dikenakan hukuman yang lebih serius,” kata AFF dalam kenyataan.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini telah menghantar surat rasmi kepada AFF untuk menyatakan rasa tidak puas hati berhubung mutu pengadilan ketika perlawanan Vietnam menentang Malaysia di Stadium My Dinh, Hanoi.
Baca artikel berkaitan: FAM hantar surat tak puas hati mutu pengadilan
Surat bantahan itu dihantar selepas Sekretariat Agung FAM mendapatkan pandangan daripada Jawatankuasa Penilai Pengadil FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Datuk S Sivasundaram.
Mutu pengadilan ditampilkan pengadil dari Jepun, Ryuji Sato mencetuskan persoalan dan kritikan peminat bola sepak negara pada perlawanan itu.
Keputusan memberikan sepakan penalti kepada Vietnam ketika kedudukan 0-1 jelas menyentak semangat pemain Malaysia yang akhirnya menyaksikan Harimau Malaya tumbang 0-3.
Bukan itu sahaja, Sato turut melayangkan kad merah kepada pertahanan Azam Azmi Murad susulan pergelutan di luar kawasan padang dengan pemain Vietnam, Doan Van Hau pada minit ke-59.
Beberapa keputusan pengadilan lain termasuk ketika Van Hau ‘menghentak’ Azam Azmi dan Sharul Nazeem pada separuh masa pertama turut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

