SITUASI politik di Sabah yang panas sejak semalam sehingga didakwa bakal mengalami perubahan pentadbiran sudah mulai tenang dan tiada lagi gejolak.
Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Menurut Anwar, beliau telah pun menghubungi pemimpin tertinggi parti-parti di Sabah termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Pada masa sama, Anwar berkata, beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengenai isu tersebut.
Perdana Menteri berkata, beliau cuma dimaklumkan ada beberapa isu telah dibangkitkan, namun meminta supaya Hajiji berbincang secara baik.
“Mengenai Sabah, saya sudah hubungi semua. Hajiji, Shafie, Bung Moktar. Saya juga dah bincang dengan Zahid, Anthony Loke.
“Nampak keadaan tenang sementara ini dan saya fikir tiada apa-apa gejolak yang berlaku.
“Tiada apa-apa perkembangan (perubahan kerajaan negeri). Cuma dimaklumkan ada beberapa isu, saya minta Ketua Menteri bincang secara baik dengan rakan-rakan di negeri Sabah,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Politik Sabah bergolak: Cubaan jatuhkan Hajiji gagal
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Bukit Aman, hari ini.
Perdana Menteri sebelum itu sempat singgah untuk makan tengah hari di Medan Selera Tanglin dan bermesra dengan orang ramai.
Semalam, media melaporkan cubaan untuk menggulingkan pentadbiran Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah menemui jalan buntu.
Cubaan yang digelar ‘Langkah Kinabalu’ itu dikatakan ada kaitan dengan gerakan daripada pemimpin Warisan dan BN.
Difahamkan, dua sidang media berasingan daripada Shafie dan Bung Moktar yang dijadualkan petang semalam telah dibatalkan tanpa perincian lanjut.
Spekulasi bermula kelmarin selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengeluarkan kenyataan mengenai kesediaan membuktikan keabsahan Hajiji jika ada keperluan untuk berbuat demikian.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

