MALAYSIA yang menyatakan sokongan penuh terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menggesa supaya gencatan senjata di Gaza dikuatkuasakan sekarang.
Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak supaya serangan ke atas Gaza dihentikan; pembebasan segera semua tebusan dan penghantaran bantuan ke wilayah itu dipercepatkan serta-merta.
Mengambil kira kemuliaan Ramadan, Perdana Menteri berkata penderitaan penduduk Gaza yang telah dialami sejak Oktober tahun lalu itu mesti segera dihentikan.
“Demi kemuliaan Ramadan, dalam semangat pada bulan ini yang bertujuan membangkitkan renungan, pembaharuan iman kita dan kembali kepada keluarga, hari ini resolusi yang mengikat secara sah mesti dikuatkuasakan sekarang.
“Kita mesti segera melegakan penduduk Gaza daripada kesakitan yang amat sangat dan penderitaan yang kini mereka alami selama hampir enam bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut meminta Amerika Syarikat (AS) bertindak ke atas sekutunya supaya menghormati kehendak masyarakat antarabangsa menerusi pematuhan terhadap gencatan senjata dan membenarkan kemasukan segera serta besar-besaran bantuan kecemasan.
Katanya, Malaysia turut memuji keberanian dan komitmen terhadap kemanusiaan ditonjolkan 10 wakil yang dipilih ahli majlis UNSC iaitu Algeria, Guyana, Ecuador, Jepun, Malta, Mozambique, Sierra Leone, Slovenia, Korea Selatan dan Switzerland.
“Malaysia kekal komited kepada perjuangan Palestin dan akan diteruskan usaha untuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai sempadannya serta kemasukan Palestin sebagai ahli penuh PBB,” katanya.
UNSC akhirnya menerima satu resolusi meminta satu gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza untuk bulan Ramadan dilaksanakan.
Baca artikel lain: Kenaikan harga di bazar bukan sebab SST tapi sewa tapak tinggi – PM
Sebanyak 14 negara mengundi menyokong resolusi itu, yang dibentangkan oleh 10 ahli majlis berkenaan yang dipilih sementara Amerika Syarikat yang selama ini menggunakan kuasa veto bertindak berkecuali daripada mengundi.
Resolusi itu menggesa supaya gencatan senjata segera dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan, dihormati oleh semua pihak sambil menyasarkan satu gencatan senjata yang dapat bertahan lama.
Ia juga meminta supaya pembebasan segera tanpa syarat semua tawanan, dan memastikan akses untuk mereka mendapatkan keperluan kemanusiaan dan perubatan.
Resolusi itu mensyaratkan pihak berkenaan supaya mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa terhadap individu yang mereka tawan.
Ia juga menekankan keperluan segera kedua-dua aspek iaitu meluaskan aliran masuk bantuan kemanusiaan di seluruh Semenanjung Gaza dan memperkukuhkan perlindungan kepada orang awam.
Resolusi itu turut mengulangi permintaan supaya segala halangan kepada penyediaan bantuan kemanusiaan di seluruh Semenanjung Gaza pada skala besar dimansuhkan dengan segera, menurut undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

