PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melaksanakan Program Ihya’ Ramadan di kementerian-kementerian sempena bulan Ramadan yang bakal tiba bermula esok.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan, Perdana Menteri akan mengunjungi pelbagai kementerian untuk menyantuni penjawat awam dalam Program Ihya’ Ramadan tersebut.
Menurut beliau, Anwar sendiri akan menyampaikan tazkirah ringkas bersama penceramah jemputan.
“Program ini bertujuan menjadikan Ramadan sebagai madrasah rohani, bukan sahaja dalam aspek ibadah tetapi juga pembentukan nilai dan akhlak dalam pentadbiran negara.
“Melalui program ini, nilai-nilai seperti kejujuran, disiplin dan tanggungjawab dapat diperkukuh dalam kalangan penjawat awam selaras dengan teras Kesejahteraan dalam gagasan MADANI,” katanya.
Baca artikel lain: PMO perkenal Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, pastikan rakyat terima maklumat tepat, sahih
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung pertama Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan di Facebook Anwar dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) Malaysia.
Mengulas lanjut, Tunku Nashrul memaklumkan, Perdana Menteri juga telah bersetuju untuk turun ke beberapa negeri sepanjang bulan Ramadan bagi memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Pada masa sama, beliau berkata, Perdana Menteri juga akan bertemu masyarakat dalam Majlis Berbuka Puasa MADANI.
“Butiran lanjut mengenai tarikh dan lokasi spesifik bagi setiap majlis akan diumumkan dalam masa terdekat melalui saluran rasmi kerajaan.
“Pejabat Perdana Menteri menggalakkan semua rakyat untuk mengambil bahagian dalam majlis-majlis ini sebagai tanda kebersamaan dan perpaduan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

