PENJARA bukan sekadar tempat menjalani hukuman bagi mereka yang melakukan kesalahan, tetapi juga pusat pemulihan yang berkesan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin Nasution berkata, hal itu terbukti apabila program pemulihan di penjara bukan sahaja mengubah hidup banduan tetapi membawa mereka ke pangkuan masyarakat sebagai insan yang lebih baik.
Sebagai contoh, katanya, program seperti hafazan al-Quran di Sekolah Henry Gurney yang berjaya membentuk personaliti banduan muda.
“Malah, ada dalam kalangan mereka yang telah menghafal 30 juzuk al-Quran dan menjadi imam solat tarawih. Ini adalah bukti bahawa penjara bukan sekadar tempat menjalani hukuman, tetapi juga pusat pemulihan yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di media sosial selepas hadir ke Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni Menteri Dalam Negeri bersama Jabatan Penjara Malaysia di Sungai Petani, Kedah, semalam.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memperkukuhkan pendekatan alternative sentencing memandangkan negara menghadapi cabaran kesesakan penjara.
Kata beliau, penyelesaian segera perlu dilakukan memandangkan kapasiti penjara di Malaysia ketika ini adalah seramai 72,000 banduan tetapi jumlah penghuni telah mencecah 80,000 banduan.
“Justeru, antara alternative sentencing yang sedang diperkukuhkan adalah Perintah Kehadiran Wajib (PKW) – Hukuman luar penjara dengan syarat tertentu; tahanan rumah dengan pemantauan ketat dan Electronic Monitoring Device (EMD) – Gelang elektronik bagi banduan bersyarat,” katanya.
Saifuddin Nasution menambah, falsafah Rehabilitation Over Punishment yang diamalkan oleh negara-negara maju seperti Norway dan Belanda boleh dijadikan rujukan, tetapi KDN tetap akan memastikan kawalan dan keselamatan negara sentiasa diutamakan.
“Kita ingin melihat Malaysia sebagai model terbaik dalam pemulihan banduan, bukan sekadar menghukum, tetapi membimbing mereka kembali kepada jalan yang benar,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

