MAJORITI daripada 3,716 individu yang mendaftar sebagai ahli baharu UMNO menerusi sistem pendaftaran dalam talian yang dilancarkan semalam merupakan golongan muda.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah itu direkodkan dalam tempoh 24 jam sistem itu dimuat naik.
“Check (periksa) sistem dashboard keahlian UMNO, terus saya ambil masa untuk perhalusi dan luluskan setiap permohonan.
“Letih juga tapi menyeronokkan dan mengujakan kerana tak sampai 24 jam sistem baharu pendaftaran online dimuat naik, sudah 3,716 ahli baharu yang majoritinya anak muda mendaftar,” jelasnya.
Beliau menambah, golongan pemuda mendominasi pendaftaran dengan 2,413 orang atau 65 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Ia jelasnya, diikuti kategori ahli biasa seramai 818 orang (22 peratus); Wanita, 248 orang (7 peratus) dan Puteri, 237 orang (6 peratus).
“Terima kasih semua kerana sudi bersama dalam perjuangan suci ini,” katanya.
Kelmarin, Asyraf Wajdi memaklumkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara dalam talian.
Perkara itu bagi mempermudah kemasukan ahli baharu terutama dalam kalangan anak-anak muda.
Katanya, pindaan itu dibuat selepas tinjauan oleh Pemuda dan Puteri UMNO dalam tempoh dua minggu ini di media sosial mendapati kira-kira 2,800 golongan muda berminat menyertai parti itu.

